BAU: Seorang bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menghidapi lumpuh dan berpenyakit kronik menerima lawatan khas kebajikan serta sumbangan ihsan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Sarawak, semalam.

ATM menerusi satu kenyataan mendedahkan lawatan dilakukan terhadap seorang bekas dan juga veteran ATM, Goan Moin, yang beralamat di kampung Segong, Singai, Bau.

“Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak, Mejar Pahot Joll menerusi satu lawatan di Bau telah menyerahkan peralatan pesakit iaitu kerusi roda kepada 1056913.

“Dengan penyerahan bantuan kerusi roda tersebut diharapkan dapat membantu pergerakan Goan didalam rumah atau menghadiri rawatan susulan,” jelas kenyataan itu semalam.

Katanya, Goan didapati mengalami lumpuh, lemah anggota badan sejak tahun 2010 dan kini turut disahkan menghidapi penyakit kronik iaitu kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

Tambah kenyataan itu, isteri Goan, Felex Nura Tusun turut mengalami nasib sama iaitu menghidapi penyakit buah pinggang yg kronik sejak tahun 2015 dan perlu menjalani haemodialisis 3 kali seminggu.

Dedahnya, lawatan turut mendapati keadaan hidup dan kediaman pasangan berkenaan dalam keadaan daif, uzur dan usang.

Dalam pada itu, JHEV menerusi kenyataan terbabit turut mendedahkan telah membantu dalam memproses Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bantuan peralatan lain untuk Goan dan isteri.