SERIAN: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching berjaya menahan dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia disyaki cuba menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan tikus berhampiran pangkalan Amo Lorong 1, Kampung Tesu Kura, pada Khamis.

Komander Briged Sarawak, SAC Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan dilokasi sebelum pasukan peronda menahan mereka sekitar jam 8 malam.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati suspek, 32, merupakan warga tempatan manakala seorang lagi merupakan lelaki Indonesia berusia 44 tahun.

“Pasukan kita menerusi Op Benteng Covid ketika membuat rondaan telah menahan dua individu dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan sempadan Tebedu.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebentuk cincin, dan wang tunai berjumlah RM10,024.00,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan terhadap barangan kes berjumlah RM112,624.00.

Dedahnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek warga Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen sah perjalanan.

Susulan itu, katanya, suspek ditangkap dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Serian untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1953/69.