PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan bahawa pemakaian pelitup muka masih menjadi keutamaan walaupun data menunjukkan penurunan kes Covid-19 di beberapa negara yang terjejas.

Ketika negara membuka semula penguncian terhadap sektor-sektor penting termasuk pendidikan awal kanak-kanak, pemakaian pelitup muka dianggap sebagai kemestian dalam norma baharu.

Bagaimanapun, ketika dilonggarkan SOP dalam beberapa perkara, ramai yang seakan-akan lupa dengan amalan memakai pelitup muka. Kementerian Kesihatan memang sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutama bagi mereka yang bergejala.

Justeru penting untuk ia digunakan jika kita berada di kawasan orang ramai termasuk di ketika menggunakan pengangkutan awam dan berada di pusat beli-belah. Lihatlah di pasar raya, sudah ada yang tidak kisah mengenainya.

Malah amalan penjarakan sosial pun semakin dilupakan kerana ada beberapa premis sudah tidak kisah akan semua itu. Amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta langkah kesihatan awam lain sepatutnya diterapkan dalam kehidupan seharian.

Ia adalah amalan paling utama yang perlu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat dalam memerangi Covid-19. Ayuh rakyat Malaysia. Kita sebenarnya masih belum menang perang ini.

Walaupun penularan wabak ini di negara dan negeri ini telah mencapai angka satu digit tetapi ia bukan jaminan untuk ia terus sifar.

Pelanggaran ke atas beberapa amalan dan SOP yang ditetapkan sebelum ini boleh mencetus gelombang kedua. WHO sendiri akan terus menjalankan kajian dan akan memberi maklumat terkini berhubung Covid-19 dari semasa ke semasa.

Malah pertubuhan itu menasihatkan mereka yang bergejala seperti demam, batuk, badan letih, sakit tekak dan pening kepala untuk tidak keluar rumah kecuali untuk urusan penting dan mendapatkan rawatan.

Individu yang bergejala hendaklah memakai pelitup muka jika mereka perlu keluar rumah. Selain itu, WHO juga menasihatkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan orang awam dan warga emas di tempat yang mempunyai penularan jangkitan komuniti.

Secara prinsip, pemakaian pelitup muka perlu diutamakan bagi petugas kesihatan dan juga masyarakat umum yang bergejala. Orang awam malah digalakkan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan yang sesak dan sempit. Ini memandangkan di tempat yang sesak, sukar bagi individu untuk mengamalkan penjarakan sosial sekurangkurangnya satu meter.

Justeru, tolonglah faham bahawa kita masih tidak boleh berbangga dengan pencapaian memerangi Covid-19 dan amalan mudah seperti menggunakan pelitup muka, membersih tangan dan penjarakan sosial jangan dihentikan.

Malah tidak salah untuk ia terus menjadi amalan sampai bila-bila, kerana ia merupakan kaedah semula jadi untuk mengelakkan diri daripada apa-apa jua jangkitan. Ia adalah langkah terbaik untuk kesihatan, keselamatan dan keselesaan.

Sensitif dan cemburulah terhadap kesihatan dan keselamatan diri kita, dan dalam konteks ini, bersikap tegas adalah langkah terbaik. Jika kita tidak menjaga diri kita sendiri, siapa lagi?