BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bintulu mencatatkan rampasan barangan mencecah RM193,805.50 dalam 10 kes sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPP.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Cawangan Bintulu Nazari Hassan berkata, tindakan itu dilaksanakan semasa pelaksanaan PKP dan PKPP bermula 18 Mac hingga 18 Jun. Beliau berkata, pihaknya turut merekodkan kompaun sebanyak RM2,800 sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya lagi, sebanyak 2,263 premis perniagaan di sini diperiksa untuk tempoh 1 Januari sehingga 17 Jun lalu merangkumi 2,348 premis perniagaan yang beroprasi di kawasan bandar dan 316 di luar bandar. Pihak kementerian juga merekodkan 49 kes membabitkan nilai rampasan sebanyak RM672,881.85 dan kompaun sebanyak RM22,800.

Nazari Hassan

Katanya, KPDNHEP Cawangan Bintulu komited memastikan pemantauan dan pemeriksaan berterusan terhadap bekalan dan harga barang keperluan isi rumah sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain pemantauan dan pemeriksaan bekalan dan harga barangan keperluan, pihaknya kini terlibat dengan penguatkuasaan pematuhan PKPB selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi pemeriksaan khas (harian) KPDNHEP atau operasi bersepadu bersama PDRM.

Nazari turut menasihati peniaga yang cuba mengambil kesempatan dalam tempoh PKP berkuat kuasa dan sesiapa yang didapati menaikkan harga barangan secara tidak berpatutan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Mana-mana orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah akta ini boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah akta ini selanjutnya boleh didenda tidak lebih RM500,000,” katanya.