DEBAK: Lebih 15,000 penduduk ketika ini menyokong penuh ikhtiar Adun Saribas Mohammad Razi Sitam untuk membawa perkhidmatan kiosk Bank Rakyat ke pekan Debak.

Menurutnya, suara rakyat yang memerlukan perkhidmatan cawangan bank atau kiosk mesin teler automatik (ATM) cukup lantang didengar.

“Sana sini suara pihak menggesa agar pekan Debak disediakan perkhidmatan tersebut dan saya sebagai wakil rakyat amat memahami keluh resah mereka ketika hendak berurusan dengan bank.

“Rata-rata orang kita yang hendak mengeluarkan wang terpaksa pergi ke luar daerah.

“Justeru, alang-alang pihak Bank Rakyat terbuka untuk berbincang tentang perkara ini maka saya amat menyambut baik.

“Saya benar-benar merayu kemudahan penting itu dapat disediakan di pekan Debak,” katanya kepada Suara Sarawak kelmarin, selepas menerima kunjungan pihak Bank Rakyat Cawangan Sarikei yang diketuai pengurusnya Faishal Salleh.

Menurutnya, sehingga kini pihak bank lain belum mencapai keputusan untuk membuka cawangan mereka.

“Saya sedia maklum bahawa mereka sebagai institusi kewangan komersial lebih melihat kepada pulangan pelaburan, tetapi saya yakin Debak hari ini sudah mampu bersaing dari segi aktiviti perniagaan.

“Justeru, bank-bank komersial amat dipelawa untuk turut sama bergerak aktif sebagai badan yang menyediakan kemudahan kewangan kepada penduduk.

“Kita giat merancang dan melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan ekonomi serta perniagaan di pekan Debak.

“Apa yang boleh saya katakan, dahulu mungkin tidak… tetapi hari ini Debak sudah berada pada tahap yang meyakinkan,” ujarnya.

Razi mengakui atas niat mempermudahkan urusan rakyat, beliau masih sangat berharap akan ada bank-bank yang bertapak kekal di pekan Debak suatu hari nanti.

Hadir sama Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal dan Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang.