KUCHING: Seramai 2,000 peniaga di Sarawak sudah mendaftar dengan aplikasi Helpy Service, kata Nur Suhardy Yakop.

Ketua Pegawai Operasi Helpy Sdn Bhd itu bagaimanapun berkata, tidak semua peniaga boleh mengemukakan senarai produk jualan mereka kerana perlu menjalani tapisan terlebih dahulu.

“Untuk tapisan, mereka hanya perlu memuat naik dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan dan sebagainya.

“Ia adalah untuk memastikan aplikasi ini tidak diceroboh oleh komuniti lain kerana kami mahu komuniti tempatan kita menggunakan aplikasi itu.

“Setakat ini, lebih 6,000 pengguna di seluruh Malaysia telah memuat turun aplikasi tersebut.

“Maksudnya mereka adalah peniaga yang berdaftar,” katanya ketika program Webinar anjuran MPC dengan tajuk ‘Juh Terokai Peluang Perniagaan Secara Digital’, dalam talian.

Aplikasi tersebut dapat membantu perniagaan termasuk memudahkan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan.

“Kami menyediakan peta yang menghubungkan lokasi.

“Pelanggan dapat melihat jarak dan lokasi kedai dan ia juga memudahkan proses penghantaran.

“Sistem logistik tersebut juga akan membantu pelanggan untuk melihat berapa ramai runner yang ada di sekeliling mereka,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu, mereka sudah mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh runner dalam satu kawasan di Sarawak.

Aplikasi Helpy Service bukan hanya menyediakan perkhidmatan jual beli barangan, makanan tetapi juga menyediakan perkhidmatan membersih rumah.