SIBU: Sebarang bentuk bantuan yang diberikan sangat bermakna bagi semua warga SMK Sacred Heart, kata Pengetuanya David Teo Wu.

Menurutnya, sekolah sangat menghargai semua bentuk bantuan daripada masyarakat memandangkan sekolah tersebut tidak dibiayai sepenuhnya daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian semasa menerima sumbangan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan daripada Kaunselor Joseph Chieng dan Kapitan Lau Hieng Choon.

David Teo menambah, sokongan padu berbentuk dana daripada masyarakat secara langsung membantu sekolah berkembang untuk penambahbaikan dan penyelenggaran.

“Tanpa dana ini, kita tidak akan dapat menyediakan persekitaran kondusif untuk pelajar kita belajar dalam keadaan sempurna,” ujarnya. Meskipun sekolah ini mendapat bantuan dan sokongan daripada masyarakat setempat terutamanya bekas pelajar, beliau mengakui masih banyak bidang yang masih memerlukan penambahbaikan.

“Dewan sekolah perlu dinaik taraf setelah hampir 20 tahun wujud dan dalam sukan, pelajar kita akan lebih berjaya sekiranya kita mempunyai trek larian kita sendiri,” tegasnya.

Mengenai sumbangan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan pula, David Teo berkata, kedua-dua pemimpin itu sangat prihatin terhadap keperluan sekolah. Sementara itu, Joseph Chieng berkata, mereka akan berfungsi untuk membantu sekolah ketika diperlukan.

“Ini sebahagian daripada tugas kami dalam pembangunan komuniti. “Ia juga untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai keperluan dan cabaran sekolah,” katanya.

Joseph Chieng menambah, pasukannya merupakan salah satu kumpulan yang ditugaskan untuk membantu masyarakat di kawasan Bukit Assek.