KUCHING: Seorang lelaki dari Sarawak yang berjalan kaki sejauh 80 kilometer dari Selayang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapatkan penerbangan pulang ke Kuching sebelum dibantu oleh dermawan Kuan Chee Heng.

Chee Heng membantu lelaki terbabit yang menawarkan van untuk membawanya ke KLIA.

Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang” sebelum itu menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada kakak lelaki berkenaan untuk meminta bantuan membawa adiknya ke KLIA.

“Agi Idup Agi Ngelaban – di sini seorang anak Sarawak yang berjalan kaki dari Selayang ke KLIA untuk balik ke Sarawak.

“Selepas dua jam berjalan kaki, beliau yang masih di Jalan Kuching (Kuala Lumpur) meminta bantuan daripada saya,” kata Chee Heng dalam Facebooknya pada Khamis.

Kata Uncle Kentang, lelaki itu tiada wang untuk membayar tambang teksi atau Grab ke KLIA manakala tiket penerbangan pulang ke Sarawak dibeli oleh ahli keluarganya.

Lelaki itu bekerja di sebuah kilang tetapi tempat kerjanya ditutup tiga bulan lalu.

Tambah Uncle Kentang, jadual penerbangan lelaki itu pada jam 5 petang dan sekiranya dia terus berjalan kaki ke KLIA, ia memerlukan masa selama 16 jam dan tentunya beliau tidak sempat sampai ke destinasinya.

Dalam gambar yang dikongsikan oleh Uncle Kentang, lelaki itu membawa sebuah bagasi dan beg belakang serta menggunakan selipar jepun.

“Kita menemui dia di Jalan Kuching dan tidak mempunyai sebarang wang saku.

“Maka, kita memberinya wang saku RM200,” ujarnya.

Dalam kemas kini Facebooknya, Uncle Kentang memberitahu dia menerima ucapan terima kasih daripada kakak kepada lelaki berkenaan yang selamat sampai ke Sarawak.