KUCHING: Penganjuran ibadah korban pada tahun ini perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS). Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi adalah masjid dan surau harus mewujudkan jawatankuasa pengelola dan mendaftar dengan Pejabat Agama Islam Bahagian.

“Masjid dan surau yang akan menjalankan ibadah ini perlu mendapat permit penyembelihan ternakan daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau manamana Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

“Pembekal binatang korban harus memperolehi sijil kesihatan veterinar daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau Daerah,” katanya menerusi satu kenyataan kelmarin.

Menurutnya, jumlah individu yang dibenarkan terbahagi kepada beberapa bahagian.

“Bagi penyembelihan hanya 10 individu dibenarkan, melapah (20 individu), pemotongan, menimbang dan membungkus (10 individu) manakala peserta dan penerima (maksimum 20 orang).

“Individu yang disahkan positif Covid-19 atau baharu sembuh dengan notis kuarantin atau mempunyai gejala dilarang hadir.

“Tapak penyembelihan harus sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam (parit dan longkang) dan dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.