KUCHING: Seorang lelaki berusia 40 tahun ditangkap setelah didapati membawa dadah jenis syabu seberat 5.28 gram bernilai RM790 berhampiran kawasan perumahan Eden Height, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, suspek ditangkap dan diperiksa di lokasi hasil serbuan mengejut sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) Kuching sekitar jam 9.15 malam.

Menurutnya, serbuan dilakukan atas maklumat risikan awal mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku di sekitar kawasan Kuching.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 5.28 g yang bernilai sekitar RM790.

“Ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedah Merbin, semakan rekod polis turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Tegasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun dan hukuman sebat tidak melebihi sembilan kali sebatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat terus memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam menyalurkan maklumat terhadap aktiviti pengedaran dan gejala penyalahgunaan dadah di kawasan berhampiran masing-masing.