KUCHING: Aplikasi Helpy Service menawarkan pasaran dan penghantaran tanpa batasan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Helpy Sdn Bhd Nur Suhardy Yakop berkata, mereka menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan menerusi aplikasi tersebut.

“Aplikasi ini membolehkan usahawan memasarkan produk atau barangan jualan tanpa sempadan.

“Perkhidmatan ini menggunakan motosikal, kereta, van dan lori.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran ke bahagian lain menggunakan BusAsia termasuk ke luar Sarawak menggunakan kapal terbang serta perkhidmatan Janio,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika program Webinar anjuran MPC dengan tajuk “Juh Terokai Peluang Perniagaan Secara Digital” dalam talian.

Tambahnya, Helpy Sdn Bhd sasaran untuk meningkatkan pengeluaran jualan dan pendapatan dengan pasaran tanpa sempadan tersebut.

“Dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, kita akan kembangkan perkhidmatan penghantaran dengan menggunakan Pos Laju untuk terus mencapai sasaran jualan di luar kawasan

“Sebagai contohnya, mereka yang berada di Kuala Lumpur boleh membuat tempahan barangan dari Kuching dan sebagainya,” ujarnya. Helpy Service juga menyediakan pelbagai jenis pembayaran seperti Sarawak Pay, FPS, Helpy, Cash On Delivery (COD) dan lain-lain.

“Dengan menyediakan pelbagai pilihan seperti itu kepada pelanggan, akan memudahkan proses pembayaran dilakukan.

“Kami memahami segelintir daripada masyarakat lebih selesa menggunakan bayaran secara tunai seperti COD berbanding dengan aplikasi dalam talian,” katanya lagi.

Untuk rekod, Aplikasi Helpy Service adalah sebuah aplikasi yang dibangunkan di Sarawak dan menyediakan pelbagai perkhidmatan hanya dengan satu aplikasi itu sahaja.