MUKAH: Penduduk di Kampung Tellian Mukah di sini, terutama para murid teruja menunggu pembukaan bangunan baharu SK Kampung Tellian.

Projek bernilai RM16 juta yang dilaksanakan sejak Januari 2018 itu sudah siap sepenuhnya.

Berita gembira itu turut dikongsikan oleh Adun Tellian Yussibnosh Balo kepada Suara Sarawak, semalam.

“Apabila bangunan sekolah ini dapat digunakan, kita tunggu isyarat daripada Jabatan Pendidikan Daerah Mukah dahulu,” katanya mengenai tarikh penggunaan sekolah tersebut.

Sekolah tersebut sepatutnya dibuka untuk sesi persekolahan pada April lalu, namun ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

“Saya berharap para ibu bapa dan penduduk di sini bersabar sementara menunggu pembukaannya,” katanya.

Bangunan baharu SK Kampung Tellian Mukah mempunyai kemudahan bilik komputer, perpustakaan, surau, 24 bilik kelas, bilik Muzik, bilik kemahiran hidup, makmal sains, prasekolah, perpustakaan multimedia, bilik klinik, bilik pengurusan sukan, bilik pendidikan kesenian, bilik tayangan, kedai buku, ruang pendidikan Islam dan kantin sekolah.

Sementara itu, jurucakap bahagian pembangunan yang ditemui di tapak bangunan sekolah tersebut berkata, banyak lagi kemudahan yang disediakan, manakala struktur bangunan sudah siap sepenuhnya.

Bangunan dapat digunakan setelah beberapa kerja penyambungan wayar dan bekalan air bersih siap dan kini menunggu lampu hijau daripada Pejabat Pendidikan sama ada bangunan tersebut sudah boleh ataupun belum.

Ini pasti berita baik kepada warga sekolah, ibu bapa dan penduduk Kampung Seri Tellian (Tellian Tengah) dan Kampung Tellian Daya (Tellian Ulu) serta warga Mukah di sini yang menunggu kira-kira 17 tahun untuk projek itu dilaksanakan.

Tapak baharu seluas 10 hektar untuk projek itu terletak di Jalan Tellian, berhadapan bangunan sekolah lama, sekitar lima kilometer dari bandar Mukah.

Majoriti murid yang belajar di sekolah itu adalah dari Kampung Seri Tellian dan Kampung Tellian Daya