MUKAH: Empat lelaki termasuk tiga warga Indonesia mengalami kecederaan parah dan patah paha kanan setelah lori yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 1 Jalan Mukah-Balingan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Supt Jimmy Panyau berkata, kemalangan melibatkan dua buah lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun dan seorang warga Indonesia bersama dua penumpang Indonesia sekitar jam 5.30 petang.

Menurutnya, kedua-dua lori terbabit dalam perjalanan dari kawasan Matadeng menghala ke Mukah.

Dedahnya, kejadian berpunca setelah lori terbabit cuba mengelak daripada merempuh sebuah kenderaan yang keluar daripada simpang secara tiba-tiba di lokasi kejadian.

“Lori pertama yang berada di hadapan telah menekan brek secara mengejut dan dipercayai hilang kawalan sehingga membuat kendudukan lori dalam keadaan melintang di tengah jalan sebelum dilanggar lori kedua yang datang dari arah belakang.

“Akibat daripada kejadian, pemandu lori kedua mengalami kecederaan patah di paha kanan, manakala tiga warga Indonesia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, kesemua mangsa telah dihantar segera ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ujarnya, kes masih disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.