KUCHING: PBB Cawangan Pantai Damai menyatakan sokongan padu kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk terus mentadbir Sarawak.

Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia berdasarkan pelbagai inisiatif diperkenal Abang Johari sejak memegang tampuk kepimpinan kira-kira tiga tahun lepas.

Menurutnya, sokongan turut diberikan kepada kepimpinan kanan Kerajaan Sarawak yang telah memberi banyak sumbangan kepada negeri ini. “Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan PBB terus menjadi parti tulang belakang Kerajaan Sarawak.

“Kita menyokong segala usaha Ketua Menteri dalam membawa kemajuan kepada Sarawak,” ujarnya. Beliau berkata demikian sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PBB Pantai Damai kelmarin.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, inisiatif yang diperkenal Abang Johari adalah untuk memastikan kemajuan Sarawak setanding dengan negeri lain.

“Kita amat berharap impian untuk Sarawak menjadi negeri termaju di Malaysia menjelang 2030 dapat direalisasikan menerusi inisiatif ini,” ujarnya. Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana prihatin dengan nasib rakyat negeri ini terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tiga bulan lepas.

“Kita dapat saksikan Kerajaan Sarawak berusaha menyalurkan bantuan kepada rakyat menerusi pakej rangsangan yang diperkenalkan,” jelasnya. Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata, PBB Cawangan Pantai Damai bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Ini bukan hanya retorik atau hendak menyenangkan hati rakyat tetapi ia disebabkan pilihan raya kerap diadakan di negeri ini iaitu sekitar dua ke tiga tahun sekali. “Keadaan ini membuatkan kita sentiasa berada dalam mod aktif. Apabila tiba PRN-12 atau PRU15, kita sentiasa bersedia kerana jentera mempunyai pengalaman menghadapi situasi genting,” katanya.

Menurutnya lagi, GPS tidak berdepan masalah untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang. “Persoalannya mengenai logo GPS bukan masalah kerana masyarakat sudah mengetahui mengenai entiti politik ini sejak dua tahun lepas. “Kita juga menyebarkan maklumat mengenai GPS menerusi media sosial dan sambutan amat memberangsangkan,” tambahnya.