SIBU: Tapak Pasar Malam Sibu di Taman Rama-Rama di sini, mendapat sambutan yang amat menggalakkan sebaik ia beroperasi semula.

Orang ramai kelihatan berbaris panjang dan diperiksa suhu badan, mencatatkan butiran peribadi dan sebagainya sebelum dibenarkan masuk ke tapak tersebut.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh yang turut memantau keadaan di tapak pasar malam semalam berkata, ia adalah sesuatu ‘petanda’ yang baik untuk para penjaja setelah sekian lama ditutup.

“Namun, masalahnya apabila semakin lama serta berbaris panjang, ramai yang mahu masuk, tidak ada lagi penjarakan sosial ketika mereka beratur dan ia sangat rapat.

“Ia serupa dengan isu di Pasar Sentral Sibu sebelum ini disebabkan pendaftaran pengunjung kerana mereka memerlukan masa untuk mendaftar sebelum masuk,” tambahnya.

Ting berkata, apa yang berlaku di Pasar Sentral Sibu adalah pada hari pertama dan hari kedua sahaja kerana pendaftaran pengunjung yang menyebabkan barisan panjang.

“Setelah mengkajinya, kami tidak lagi mengenakan pendaftaran pengunjung dan hanya fokus pada imbasan suhu badan.

Hasilnya orang ramai yang beratur panjang akhirnya terkawal dan keadaan berjalan lancar.

“Ada kemungkinan kita menggunakan pendekatan serupa untuk situasi di pasar malam ini. Namun ia bergantung kepada hasilnya setelah kajian terperinci,” tambahnya.

Beliau juga menasihatkan semua 82 penjaja di bawah Kumpulan B agar memakai pelitup muka dengan betul.

“Malam Ahad giliran penjaja Kumpulan A akan berniaga yang juga terdiri daripada 82 penjaja.

“Penjaja dalam Kumpulan B (malam semalam) telah mengalami perniagaan yang sangat baik di mana kebanyakan jualan mereka hampir habis dijual sekitar jam 7.30 malam.

Mungkin mereka tidak menjangka orang ramai seperti malam Sabtu dengan hanya menyediakan sedikit makanan untuk dijual,” tambahnya.

Ting berkata, terdapat tiga pintu masuk/keluar di pasar malam tersebut, masing-masing satu di Jalan Island, Jalan Cross dan Jalan Pasar.

“Penjaja di pasar malam di sini akan berniaga secara bergilir-gilir mengikut giliran yang ditetapkan oleh MPS dengan SOP seperti yang telah ditetapkan,”

“Oleh kerana gerai akan dijarakkan sekurang-kurangnya 1.5 meter dari satu sama lain, hanya 82 atau setengah dari 164 gerai keseluruhannya dibenarkan beroperasi setiap malam.

Waktu operasi ialah dari jam 5 petang hingga jam 10 malam,” tambahnya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengumumkan bahawa pasar malam, siang dan hujung minggu dibenarkan beroperasi mulai 20 Jun lalu.

Pasar malam adalah antara perniagaan yang diarahkan tutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Turut mengiringi Ting dalam pemantauan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Peniaga dan Penjaja Kecil MPS Kaunselor Albert Tiang dan Pengerusi Penjaja Seksyen Bumiputera Pasar Malam Sibu Abdul Halim Abu Bakar.