KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) mahu komponen Pakatan Harapan (PH) memperkemas jentera pada kadar segera berikutan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara mengejut dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, partinya akan terus mempertahankan PH sebagai gabungan parti politik. “Menjadi tanggungjawab PH bersama gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya serta Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk terus berusaha mengambil kembali mandat dan hak rakyat yang diberi kepada PH pada PRU ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ini bagi meneruskan usaha mentadbir negara yang menjunjung keutuhan integriti, menjamin dan membentuk ekonomi mampan, menegakkan kerajaan berintegriti dan melawan rasuah serta mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, Amanah mengambil berat kegelisahan dan kerisauan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan tanpa mandat rakyat.

Mohamad mendakwa kerajaan sedia ada membelakangkan amalan urus tadbir baik seperti mengabaikan fungsi serta peranan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang negara, terutama dalam perbelanjaan dana awam.