KUCHING: Kabinet Negeri telah meluluskan penubuhan Immune Belt Enforcement Team (IBET) untuk menghentikan anjing gila memasuki Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia bagi menangani masalah anjing gila yang terus memasuki Sarawak melalui sempadan antarabangsa yang panjang.

“Dengan penubuhan IBET yang memberi ruang kepada pelbagai agensi untuk berkolaborasi di bawah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), kita dapat mengumpulkan sumber daya secara efektif untuk menghentikan anjing-anjing gila memasuki negeri,” katanya dalam perutusan sempena ulang tahun ketiga penubunan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) hari ini.

Beliau menambah UKPN telah memainkan peranan utama untuk menyelaraskan operasi memerangi rabies di seluruh Sarawak.

Menurutnya lapan fasa operasi telah dilaksanakan bermula dari Telok Melano pada Mac 2019 dan berakhir di Lawas pada November 2019.

“Operasi ini berjaya memvaksinasi 26,000 anjing dan membunuh 11,000 anjing lagi,” katanya.

Abang Johari berkata UKPN juga memainkan peranan aktif sebagai sebahagian daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam memerangi jangkitan Covid-19.

Katanya penglibatan UPKN telah memberikan faktor pendorong dan semangat untuk agensi lain melaksanakan tugas dengan baik.

Pada masa sama, beliau berkata UPKN telah berperanan dalam memerangi kegiatan pembalakan haram di negeri ini.

Menurutnya selama tiga tahun terakhir, UKPN telah terlibat dalam pencegahan pembalakan haram dan pengorekan pasir, memastikan keselamatan makanan, aktiviti keselamatan fizikal, Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti atau kesedaran dan latihan CERT di seluruh Sarawak termasuk banyak program kesedaran utama di seluruh Sarawak.

“Saya difahamkan bahawa UKPN telah membuka 25 kertas siasatan, merampas kira-kira 6,000 balak, 13 jentera berat dan tiga lori, yang membawa 76 orang didakwa di mahkamah.

“Saya percaya ini telah memberi kesan dan pengurangan aktiviti pembalakan haram secara signifikan di lembangan Batang Rajang,” katanya.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata operasi dinamakan Op Jongkong itu yang meliputi kawasan Batang Rajang adalah contoh operasi yang baik untuk menggagalkan pengambilan kayu yang menyalahi undang-undang, sekali gus menyebabkan kerosakan alam sekitar dan kehilangan pendapatan negeri.

“Di atas kejayaan dalam fungsi keselamatannya, saya difahamkan bahawa UKPN juga memberikan penekanan yang sewajarnya pada latihan dan pembangunan modal insan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan pegawainya.

“Pegawai UKPN diwajibkan menjalani pelbagai jenis program latihan untuk meningkatkan kemahiran membuat keputusan dan meningkatkan prestasi mereka semasa menjalankan tugas,” katanya.

Untuk meningkatkan kecekapan, beliau menambah kursus latihan komando sangat diperlukan pada masa akan datang untuk memberi pegawai lebih memahami titik-titik yang lebih baik bagi memberikan arahan yang berkesan semasa operasi serta meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka terutama ketika kolaborasi dan operasi dengan agensi lain diperlukan.

“Tahun ini akan menyaksikan usaha yang berterusan menerusi Bahagian Pengawal Pantai Sarawak (SCG) yang kini berada pada tahap pemerolehan aset dan pengambilan anggota.

“Penubuhan SCG adalah untuk menangani pelbagai masalah termasuk pencerobohan kapal nelayan asing dan tempatan serta kehilangan pendapatan dari sumber laut kita yang luas,” katanya.