KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memberikan insentif dan rebat bil elektrik kepada penduduk di negeri ini sama seperti yang diberikan di Semenanjung.

Menurutnya, Sarawak juga mempunyai masalah peningkatan bil elektrik terutama sekali semasa tempoh PKP kerana ramai orang berada di rumah sejak Covid-19 mula melanda.

“Bagaimanapun, saya mengalu-alukan pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenai potongan dan rebat tambahan RM942 juta untuk bil elektrik bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media, kelmarin.

Menurutnya, Menteri Tenaga Kerja dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah membuat pengumuman berkenaan memandangkan terdapat banyak kes aduan kenaikan bil elektrik dalam tempoh ini walaupun hanya terhad di Semenanjung Malaysia.

Melalui pengumuman tersebut, pengguna domestik akan menikmati elektrik percuma mulai April hingga Jun sekiranya penggunaannya pada bulan tersebut di bawah 300kWh atau RM77.

Mereka yang menggunakan melebihi jumlah itu akan mendapat potongan harga sebanyak RM77 untuk tiga bulan tersebut.

Justeru Dr Kelvin berkata, memandangkan insentif itu baik, beliau mempersoal mengapa Kerajaan Persekutuan tidak memulakan perbincangan dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada Sarawak, supaya semua rakyat Malaysia juga dapat menikmati menguntungkan.

“Dalam tempoh PKP ini, kami juga telah menerima banyak aduan daripada orang ramai di sini (Sarawak) kerana bil elektrik yang tinggi.

“Kami membantu sebilangan kecil untuk membuat aduan kepada SEB. Mereka diminta untuk memberi gambar penggunaan sebenar di meter premis mereka kerana banyak juga yang terbeban kerana penggunaan elektrik.

“Bil elektrik kebanyakan meningkat kerana pengguna terkurung di dalam rumah sepanjang tempoh PKP

“Itulah sebabnya tidak adil bagi orang Sabah atau Sarawak tidak diberikan insentif yang dapat membantu meringankan beban kewangan mereka terutama pada masa sukar ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kedua-dua kerajaan perlu bekerjasama untuk memberikan insentif dan rebat seperti itu kepada Sabah dan Sarawak.