KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menasihatkan pembangkang agar mempunyai sifat berwibawa serta konstruktif yang boleh membantu negara dan tidak hanya fokus kepada kepentingan peribadi.

Beliau berharap agar pihak pembangkang tidak membuang Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sudah menjalankan kerja dengan baik dalam mentadbir Malaysia.

“Tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti, jangan sibuk hendak jadi Perdana Menteri.

“Kerana sebelum ini pihak pembangkang sudah diberi peluang, tetapi mereka tidak pandai menjalankan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kecemasan Perubatan dan Pendidikan Parlimen Pantai Damai di Pusat Khidmat Santubong di sini, Sabtu.

Beliau berkata, rakyat sudah melihat selama 22 bulan mereka memerintah dan mereka tidak pandai menjalankan tugas sehingga menyebabkan ekonomi negara merudum.

Menurutnya, kerajaan yang sedia ada adalah yang terbaik dan dibentuk mengikut Perlembagaan.

“Kerjalah dengan baik, jadilah pembangkang yang berwibawa, konstruktif dan jadi pembangkang yang boleh membantu negara bukan untuk kepentingan peribadi menjadi Perdana Menteri atau Menteri.

“Mereka juga sudah cuba mentadbir negara selama 22 bulan, keadaan jadi huru-hara kerana mereka tidak pandai.

Ini mereka hendak cuba lagi, saya nasihatkan jangan beri peluang kepada mereka,” jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa pihak pembangkang masih belum belajar daripada apa yang terjadi sebelum ini.

“Kerajaan Sarawak membuat yang terbaik dan anda semua tidak perlu memikirkan perkara lain.

“Ini bukan bermaksud kita hendak menafikan hak demokrasi, tetapi kita perlu menentukan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, kemelut politik yang berlaku di Malaysia ketika pemerintahan Kerajaan PH telah membawa kepada pembentukan kerajaan baharu iaitu Kerajaan PN serta pelantikan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengangkat sumpah pada 10 Mac lalu.