SIBU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sibu telah menahan sebuah kapal muatan kayu balak yang didapati beroperasi haram dengan nilai rampasan keseluruhan RM222,000 pada Khamis lepas. Dalam kenyataannya semalam, tangkapan itu adalah di bawah Ops Benteng ketika melakukan rondaan di tepi tebing sungai, perairan Engkilo, Batang Rajang, Sibu.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota penguat kuasa kami telah memeriksa sebuah kapal kargo “Bunga Sarikei No.2” yang sedang menjalankan pemunggahan kayu balak pelbagai saiz dan jenis dari kapal ke atas tebing kilang kayu.

“Hasil pemeriksaan terdapat 18 batang kayu balak yang telah dilonggokkan di atas tebing kilang kayu berkenaan dan 13 batang masih dalam kapal. “Kayu-kayu balak tersebut didapati tiada tanda tukul Jabatan Hutan (JH) serta tiada mempunyai ‘removal pass’ dan disyaki diperolehi secara tidak sah,” katanya.

Menurutnya, kapal terbabit telah disita, manakala krew kapal yang terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara India ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu katanya, kayu balak yang dirampas bernilai kirakira RM12,000. “Anggaran keseluruhan nilai rampasan (termasuk kayu balak) berjumlah RM222,000 termasuk jentera dan kapal terbabit.

“Kes diserah kepada JH Negeri Sarawak untuk siasatan lanjut dibawah Ordinan Perhutanan Negeri Sarawak 2015,” tambahnya.