KUCHING: Presiden SUPP Datuk Sri Dr. Sim Kui Hian menyampaikan ucapan tahniah kepada tiga orang Senator dari Sarawak yang baru mengangkat sumpah semalam.

Mereka ialah Pengerusi SUPP Bawang Assan Robert Lau Hui Yew, Setiausaha Kehormat Pergerakan Wanita PBB Susan Chemerai Anding, dan Timbalan Setiausaha Agung PRS Rita Sarimah Patrick Insol.

Upacara mengangkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Di-Pertua Dewan Negara Tan Sri S.A.Vigneswaran.

Menurut Dr Sim, dengan tiga Senator baharu itu, Sarawak kini mempunyai tujuh orang Senator kesemuanya.

“Masa saya jadi Senator, hanya terdapat tiga orang Senator dari Sarawak,” katanya.

Perjalanan masih panjang untuk mempunyai satu per tiga orang daripada kesemua Senator di Malaysia, dari Sarawak.

Jelasnya, ia bukan soal berapa nyaring suara anda di Parlimen atau Dewan Negara, tetapi berapa orang ahli anda ada.

“Saya yakin autonomi Sarawak, dan isu kesihatan dan pendidikan bukan sahaja diteruskan tetapi dilindungi,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.