BAU: Gua Pari-Pari (Fairy Cave) di sini akan berubah wajah dalam masa terdekat apabila dua projek sedang dan akan dilaksanakan di situ.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh, buat masa ini kerja menaik taraf tarikan pelancongan itu sedang dilaksanakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Katanya projek berkenaan merangkumi membina tandas baharu, kaunter tiket, menaik taraf tangga, tempat letak kenderaan, ‘viewer point’ dan laluan jalan kaki ke puncak gunung Pari-Pari.

“Buat masa sekarang semua jenis aktiviti di Gua Pari-Pari ditutup sepenuhnya.

“Kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan di mana gua utama dijangka akan dibuka kepada penghujung pada September ini,” katanya yang ditemu-bual, hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerja menaik taraf turut dilaksanakan di kawasan Tapak Koperasi Fairy Cave dengan meluaskan kawasan sedia ada, membina pejabat dan gerai baharu termasuk pembinaan pentas baharu.

Miro menambah pelaksanaan projek ini adalah dibiayai menggunakan peruntukan daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau.

“Kerja-kerja pembinaan bagi kawasan Tapak Koperasi Fairy Cave akan bermula hujung bulan ini dan dijangka siap pada hujung September ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata dengan siapnya kedua-dua projek berkenaan, Gua Pari-Pari diyakini akan menjadi salah satu produk pelancongan yang unik dan tersendiri indahnya di kawasan DUN Serembu.

Miro semasa meninjau pelaksanaan projek menaik taraf Gua Pari-Pari 

 

Miro semasa meninjau pelaksanaan projek menaik taraf Gua Pari-Pari