KUALA LUMPUR: Upacara perkahwinan bagi penganut bukan Islam dibenarkan namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kebenaran itu bagi upacara perkahwinan bukan Islam di rumah ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam yang melibatkan penolong pendaftar perkahwinan yang dilantik di bawah Seksyen 28, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Akta 164).

Menurut beliau, upacara perkahwinan itu juga tidak boleh melebihi 20 orang termasuk penolong pendaftar perkahwinan dan tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat atau Persatuan Agama Bukan Islam berkenaan serta perlu diadakan dengan mengamalkan jarak sosial.

“Upacara perkahwinan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Majlis resepsi perkahwinan masih tidak dibenarkan untuk diadakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai Task Force Operasi Pematuhan menahan 20 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelmarin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 10 individu direman manakala 10 lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk melibatkan aktiviti karaoke dan pusat hiburan keluarga (enam orang), aktiviti dalam pub atau kelab malam (lapan), mencuba pakaian di kedai pakaian (satu) dan aktiviti yang menyukarkan jarak sosial (lima),” katanya.

Menurut beliau, 66,468 pemeriksaan dilakukan pasukan itu bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP kelmarin.

Seramai 3,503 anggota Pasukan Pematuhan membuat pemantauan itu yang melibatkan 15,432 anggota.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 14 warga asing atas kesalahan imigresen dalam 60 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 38,474 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Mengenai operasi sanitasi awam, 49 operasi sanitasi meliputi 34 zon di sembilan negeri dijalankan antaranya di Sarawak (22 operasi), Sabah (11) dan Selangor (empat) semalam.

Selain itu, 528 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Australia, Jepun, Vietnam, India, Belanda dan Korea Selatan, semalam.

“Daripada jumlah itu, 526 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala dua lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam, mendapati tiga tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan, manakala dua tapak binaan gagal berbuat demikian dan diberi amaran dan 11 tapak binaan tidak beroperasi.

“Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam ialah 2,176 tapak binaan dan 421 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

Penguatkuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan ditutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya. – Bernama