KUCHING: Seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 19 tahun dipercayai hilang kawalan bertindak berlegar di luar tingkat lapan bangunan Majma Mall, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa pada awalnya bersama bapanya ke tempat kejadian untuk berurusan di pejabat kebajikan sebelum disedari berada di tingkat 8 luar bangunan berkenaan.

Kejadian awal dilaporkan oleh saksi dengan menghubungi pihak polis dan pasukan bomba bagi membantu menyelamat mangsa yang disangka bertindak cubaan bunuh diri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, PBK II Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 4.05 petang sebelum bergerak ke lokasi kejadian dengan segera.

“Mangsa sebenarnya tidak berniat untuk membunuh diri namun merupakan seorang OKU yang menghadapi masalah kesihatan.

“Operasi menyelamat berjaya menenangkan dan menangkap mangsa di luar bangunan terbabit sebelum diserahkan kepada pihak polis,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk diambil tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, operasi ditamatkan setelah memastikan keadaan dinlokasi dalam keadaan terkawal dan selamat sekitar jam 4.40 petang.