ISU pemandu mabuk terus panas, setelah beberapa kematian direkodkan kebelakangan ini. Isu ini terus menjadi masalah biarpun pelbagai langkah dan cara telah diambil untuk menanganinya.

Perkara ini membimbangkan semua pihak terutamanya pengguna yang memerlukan jalan raya sebagai laluan menuju ke tempat kerja.

Jika dahulu, isu pemandu mabuk sering dikaitkan dengan pendekatan undang-undang yang perlu diperketatkan, namun kini ia dilihat sebagai satu kebiasaan yang perlu dibendung. Isu ini sebenarnya juga mendatangkan kesan buruk kepada semua pihak.

Antaranya, menyebabkan kemalangan yang teruk serta menyumbang kepada peningkatan kadar kematian di jalan raya.

Masyarakat perlu sedar bahawa usaha dan tindakan oleh satu pihak sahaja belum tentu mampu menangani masalah pemandu mabuk sepenuhnya. Hal ini kerana ia memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak untuk sama-sama membanteras isu ini daripada terus berulang.

Kita sewajarnya membuang mentaliti lama yang bergantung sepenuhnya kepada tindakan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini. Malah, ia memerlukan pelbagai usaha untuk menyedar dan mendidik masyarakat di peringkat akar umbi.

Peranan ibu bapa, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu untuk memberi kesedaran mengenai perkara ini kepada semua golongan tanpa mengira had umur.

Contohnya, di peringkat keluarga, ibu bapa perlu menasihati serta mendidik anak masing-masing untuk sentiasa peka akan peraturan di jalan raya.

Malah mereka juga perlu diberi pendedahan mengenai bahaya mabuk arak, dan bahaya memandu ketika mabuk.

Bagi pihak berkuasa, mereka perlu mempelbagaikan inisiatif dan pendekatan untuk memudahkan masyarakat faham dan menerima kempen yang disampaikan.

Dengan pendekatan baharu yang lebih mesra, mungkin ia mampu menyampaikan mesej yang jelas dan tidak menimbulkan pemberontakan kepada pengguna jalan raya.

Di samping menganjurkan pelbagai kempen, pihak berkuasa dapat menetapkan satu undang-undang yang ketat melibatkan premis minuman beralkohol dalam mengurangkan masalah yang berlaku. Kita harus sentiasa agresif dalam mencari penyelesaian terhadap isu ini tanpa menjejaskan hubungan baik sesama masyarakat di sesuatu kejiranan.

Manakala, bagi masyarakat setempat, mereka perlu tegas dan berani untuk menasihati pelaku yang memandu dalam keadaan mabuk bagi mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku.

Inisiatif-inisiatif ini perlu dipupuk dari sekarang kerana masih belum terlambat untuk kita memulakan perubahan ke arah pencapaian positif.

Mungkin ada wajarnya kita mempelajari tindakan tegas yang diambil oleh negara jiran, Singapura.

Mereka melaksanakan undang-undang yang ketat, hingga rakyat berasa takut untuk memandu sambil mulut berbau arak.

Malah (pemandu Singapura) juga sedar hukuman yang dikenakan cukup berat, dan bukan sekadar penggantungan lesen, jika ditemui memandu dalam keadaan kandungan alkohol yang tinggi di dalam badan.

Untuk itu, undang-undang di negara ini perlu dipinda segera. Biarpun kita menghalalkan arak, namun kita tidak boleh berkompromi dengan mereka yang mabuk sambil memandu, kerana ia mempertaruhkan nyawa orang lain.

Semoga seluruh masyarakat dapat menjadikan isu ini sebagai iktibar dan pengajaran pada masa akan datang. Berhati-hatilah ketika memandu dan sayangi nyawa semua yang berada di sekeliling kita.