PUTRAJAYA: Aktiviti menonton wayang, teater dan acara secara langsung kini dibenarkan bermula 1 Julai, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, aktiviti itu bagaimanapun hanya dibenarkan di dewan tertutup dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Ia tidak boleh dihadiri lebih 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.

“SOP yang ditetapkan terutamanya jarak sosial perlu dipatuhi pada setiap masa,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, semalam.

Turut dibenarkan ialah aktiviri riadah di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar, serta kolam renang persendirian.

Selain itu, penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan juga bermula 1 Julai. Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, sebagai prasyarat, setiap lokasi kolam renang mestilah menyediakan life guard dan pemantau, ataupun penyelia, bagi memastikan keselamatan pengguna serta jumlah dan masa penggunaan terkawal.

Katanya, jumlah pengguna kolam renang juga perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang.

“Walaupun tiada larangan bagi kanak-kanak untuk menggunakan kolam renang kanak-kanak, namun ia tidak digalakkan.

“Kolam renang ini juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan MITI, di laman web; notification. miti.gov.my dan pihak berkuasa tempatan, bagi tujuan pematuhan kepada SOP dan pantauan oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” katanya.

Menurutnya lagi, selain dari kolam renang, aktiviti pelancongan air di sungai, laut dan tasik, juga dibenarkan dengan syarat mematuhi SOP.

“Bagaimanapun, taman tema air masih tidak dibenarkan untuk beroperasi,” tegasnya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, kebenaran penganjuran mesyuarat mestilah dilakukan dengan kehadiran peserta tidak lebih 250 orang, serta patuh SOP ditetapkan.

Katanya, pada dasarnya kebenaran ini meliputi semua organisasi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), untuk mengadakan mesyuarat agung dan mesyuarat lain.

“Kebenaran ini juga meliputi semua mesyuarat, termasuk mesyuarat agung bagi syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), persatuan-persatuan yang berdaftar di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga dibenarkan untuk mengadakan mesyuarat termasuk mesyuarat agung,” katanya. – Bernama