SARIKEI: Pelbagai inisiatif terus dilaksanakan bagi menggilap potensi ekonomi di kawasan Dun Kuala Rajang termasuk Kampung Selalang yang pernah popular sebagai pengeluar papan lapis suatu ketika dahulu.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha itu penting bagi menjana semula aktiviti ekonomi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, suatu ketika dahulu, ramai anak muda di Daerah Belawai tertumpu di Kampung Rajang berikutan kewujudan sebuah kilang di kawasan berkenaan. “Bagaimanapun selepas kilang itu ditutup pada 1965 dan 1966, penduduk mula mencari kerja di tempat lain.

“Saya sendiri pernah berkerja di kilang papan lapis Selalang pada tahun 1967 dengan gaji RM0.80 sejam ketika cuti sekolah. “Sebenarnya perkara seperti ini boleh berlaku di mana-mana tempat jika ekonomi tidak baik,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada PIBG SK Mandor Aris, Selalang, kelmarin.

Beliau berkata, usaha melonjakkan semula ekonomi bukan mudah dan ia perlu dilakukan sebagai salah satu pendekatan penting untuk mengurangkan kadar penghijrahan penduduk ke tempat lain. Pada masa yang sama katanya, pelbagai aspek perlu dikaji sama ada sektor yang dibangunkan itu sesuai dengan keadaan setempat atau sebaliknya.

“Setiap kawasan mesti ada potensi ekonominya, begitu juga dengan Kampung Selalang. “Selain perkayuan, industri ikan sangkar juga boleh dimajukan di kawasan ini. Mungkin juga ada sektor lain yang boleh dikembangkan. “Potensi semakin menyerlah dengan adanya Laluan Utama Kedua siap sepenuhnya nanti,” katanya.

Sumbangan dana untuk PIBG SK Mandor Aris itu merupakan salah satu aktiviti tahunan Len Talif sejak menjadi wakil rakyat. Guru Besarnya Zainal Abidin Zainudin berkata, sumbangan tersebut banyak membantu mereka melaksanakan pelbagai aktiviti.

“Yang Berhormat seorang pemimpin yang cukup prihatin dan tidak pernah menghampakan permintaan kami. “Beliau sentiasa menyalurkan sumbangan untuk kami menjalankan pelbagai program di sekolah ini,” ujarnya.