KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM2.5 juta dalam bentuk insentif bagi membantu industri pelancongan domestik.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dana tersebut digunakan melalui tiga inisiatif untuk membantu industri pelancongan pasca-Covid-19. Menurutnya, inisiatif itu ialah Pakej Insentif Pelawat (VIP) sebanyak RM1 juta, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak (RM250,000) dan Business Events Planners Incentivised Package (BEPIP) sebanyak RM1 juta.

Bantuan VIP itu jelasnya, termasuk insentif RM30 seorang bagi lawatan empat orang pertama dan tambahan RM20 seorang untuk pakej lawatan tiga hari dua malam. Seterusnya, RM40 seorang untuk empat orang pertama dan tambahan RM25 seorang untuk pakej empat hari tiga malam dan RM50 seorang untuk empat orang yang pertama dan tambahan RM30 setiap seorang untuk pakej lima hari empat malam, tambahnya.

“Insentif ini dapat digunakan untuk pakej pelancongan yang merangkumi penginapan di hotel atau penginapan inap desa, yang dibeli melalui syarikat pelancongan berlesen tetapi tidak untuk lawatan percuma. “Ini hanya digunakan untuk mana-mana kumpulan dengan minimum empat orang dan maksimum 15 orang pada satu masa kecuali kanak-kanak di bawah usia dua tahun,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog dengan sektor industri pelancongan di BCCK di sini, kelmarin.

Mengenai Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak, kata Abdul Karim, mana-mana pengendali pelancongan berlesen yang membuat lawatan layak untuk memohon insentif maksimum RM5,000 untuk kos pembangunan, reka bentuk dan penyelenggaraan laman web, enjin tempahan, pengiklanan digital dan penghasilan kandungan.

“Kedua-dua insentif itu, adalah dari 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini. Borang permohonan boleh dimuat turun di www.sarawaktourism.com,” katanya.

Sementara itu untuk BEPIP, kementerian melalui Biro Konvensyen Sarawak akan menawarkan tiga pakej bantuan khas yang dihasilkan untuk Perniagaan dan Acara iaitu, BEPIP untuk Dana Konvensyen Negeri (SCF), Konvensyen Homegrown dan Exhibition Seed Fund (BEHomegrown) serta BEPIP untuk Program Pembangunan Acara Perniagaan.

“Pakej ini adalah untuk 2020 dan akan berlanjutan hingga 2022,” jelasnya. Di bawah BEPIP, usaha juga akan diambil untuk mempromosikan kempen pemasaran terbarunya yang dikenali sebagai Business Events Build Stronger Communities yang memfokuskan kepada kolaborasi antara rakan industri serta menghubungkan perancangan perniagaan dan acara serta rakan industri melalui platform pendidikan maya TriBE Digital Campus untuk memupuk peluang perniagaan.