BETONG: Suntikan motivasi baik dalaman mahupun luaran merupakan senjata paling ampuh serta menjadi keperluan yang signifikan bagi warga sekolah terutamanya pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dalam norma baharu.

Sekian lama bercuti sejak 14 Mac lalu, sesi memanaskan ‘enjin’ dalam mengadaptasi senario baharu sudah pasti mengambil sedikit masa. Pengerusi Majlis Kaunselor Kolej Vokasional/Sekolah Menengah Teknik (KV/SMT) Sarawak Kaunselor Sangin Juat memberitahu, daya motivasi pelajar adalah senjata paling ampuh.

“Suntikan motivasi luaran terutamanya daripada ibu bapa dan pihak sekolah amat kritikal dan signifi kan dalam tempoh ini.

“Justeru, sekolah melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling atau Unit Psikologi dan Kerjaya harus memainkan peranan yang penting. Antaranya dengan melaksanakan Ujian Minda Sihat untuk mengenal pasti tahap kesihatan mental termasuk melaksanakan kajian keperluan pelajar menggunakan instrumen sedia ada,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Selain itu jelasnya, guru seperti disarankan dalam tempoh awal ini tidak digalakkan memberi tekanan kepada pelajar kerana mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. “Sungguhpun dalam sesi pembelajaran tidak banyak berbeza, namun ekoran penjarakan sosial yang harus dipatuhi akan menyebabkan keterbatasan.

Misalnya bimbingan secara ‘one to one’ dalam subjek yang melibatkan amali. “Dalam hal ini, pelajar itu sendiri harus akur kepada norma baharu yang dipraktikkan.

“Begitu juga peranan ibu bapa, tugas pertama mereka untuk bekerjasama dengan pihak sekolah agar prosedur operasi standard (SOP) kementerian sentiasa dipatuhi dengan memberi sokongan emosi kepada anak masing-masing.

“Ingat, peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bukannya dibatalkan. Cuma dianjak ke tahun hadapan setelah mengambil kira tempoh persediaan para pelajar dan juga pihak sekolah.

“Saya yakin, tiada sokongan yang lebih besar melainkan sokongan emosi dan motivasi daripada ibu bapa dalam melengkapi peranan pihak sekolah,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang jangkaan kehadiran pelajar ke sekolah, Pegawai Kaunseling KV Betong itu menyatakan mungkin hanya satu peratus yang tidak dapat hadir ke sekolah. “Kita tidak menolak akan wujud dua kelompok iaitu pertama, pelajar yang sememangnya bermotivasi tinggi atau dalam kata lain berkobar-kobar untuk kembali ke sekolah setelah terkurung lebih tiga bulan lebih.

“Kelompok ini pastinya merindui suasana di sekolah memandangkan dalam tempoh PKP mereka hanya menjalani kelas secara dalam talian. Dalam hal ini, majoriti pelajar itu sendiri tidak melihat efektifnya pembelajaran secara maya bersandar kepada faktor-faktor tertentu.

“Kelompok kedua, kita jangka sukar untuk memulakan kembali rutin harian setelah sekian lama bercuti lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di pedalaman dan tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran maya. “Selain itu, faktor kerisauan ibu bapa. Namun kita menjangkakan peratusannya sangat kecil iaitu sekitar satu peratus sahaja,” jelasnya.

Sangin bagaimanapun yakin, sekolah-sekolah telah bersedia menerima kehadiran pelajar bermula esok dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.