KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, di sini bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata beliau melalui proses saringan suhu badan di pintu masuk sekolah sebelum diiringi guru besar sekolah itu, Latifah Mohd Yusof melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah dan seterusnya ke dewan utama bagi sesi taklimat.

“Pada taklimat itu, saya dimaklumkan bahawa sesi pembelajaran di sekolah ini hanya melibatkan pelajar tingkatan lima seramai 255 orang yang dibahagikan kepada 14 kelas daripada sembilan kelas sebelum PKP  dikuatkuasakan.

“Saya kemudiannya meninjau aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Daripada pemerhatian saya, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan kelas tidak boleh melebihi 20 orang dipatuhi.

“Setelah tiga bulan tidak bersekolah, pastinya perasaan bercampur-baur dirasai pelajar apabila dapat kembali semula ke sekolah dan perkara itu diluahkan kepada saya semasa berbual dengan sebahagian daripada mereka tadi,” menurut catatan itu.

Muhyiddin berkata selepas semua sekolah ditutup apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas, kerajaan pada 10 Jun membuat keputusan membuka semula sekolah secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hari ini.

Dalam kunjungannya ke SMK Datok Lokman, Muhyiddin berkongsi ada antara pelajar mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

Bagaimanapun, katanya, mereka tetap teruja dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para guru, pejabat pendidikan negeri dan daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan garis panduan serta penyediaan SOP dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula.

Foto FB Muhyiddin Yassin

Beliau berkata langkah tersebut akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan sepanjang berada di sekolah.

“Bagi SMK Datok Lokman, saya dapat saksikan kesungguhan pengurusan sekolah memenuhi SOP ditetapkan bermula daripada ketibaan pelajar sehingga mereka pulang.

“Saya saksikan sendiri saringan suhu dibuat di pintu masuk sekolah, sebelum ditulis di atas pelekat yang kemudiannya dilekatkan di lengan baju pelajar. Stesen cuci tangan pula diletakkan di luar bilik darjah bagi memastikan pelajar kerap mencuci tangan,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan waktu rehat di sekolah itu dipecahkan kepada tiga fasa dengan tempahan makanan dibuat melalui guru kelas, dan makanan yang ditempah daripada kantin atau dibawa sendiri hanya dibenarkan dimakan di dalam kelas.

“Insya-Allah, dengan persediaan rapi dan pelaksanaan serta pematuhan SOP yang betul oleh semua pihak, saya yakin risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar dapat dielakkan.

“Saya turut berpesan agar mereka sentiasa berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, jaga jarak sosial serta elakkan berada di tempat yang sesak dan sempit.

“Saya doakan anak-anak kita yang kembali bersekolah dilindungi Allah dan dipermudahkan urusan dalam mengharungi kebiasaan baharu persekolahan,” menurut catatan itu.

Muhyiddin seterusnya turut berkongsi tujuh keping gambar lawatannya itu yang turut disertai Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.