BETONG: Pasukan polis dan petugas kesihatan bersedia hadir ke sekolah pada bila-bila masa untuk membuat pemantauan pembukaan sekolah yang baru bermula.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mordani Tanin berkata, pihaknya akan memfokuskan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan oleh pihak sekolah yang sudah ditetapkan kementerian.

“Kami (polis) tidak mahu ada sekolah yang melanggar SOP apabila sekolah dibuka semula. Seterusnya, kami ingin memastikan langkah pencegahan Covid-19 diamalkan semaksimum mungkin tidak kira guru, pelajar atau sesiapa sahaja,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

DSP Mordani Tanin

Bagi pemantauan peringkat awal jelasnya, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan ke sekolah masing-masing dan kemudian akan dilakukan secara berkala iaitu pada setiap bulan.

Mordani turut mengingatkan setiap sekolah menerapkan norma baharu dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti melakukan pemeriksaan suhu pada setiap hari selain perkara lain yang disarankan. Sementara itu Pegawai Kesihatan Bahagian Betong yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr. Johnny Pangkas memaklumkan, pihaknya akan membuat pemantaun secara rawak.

“Tiada hari atau masa tertentu yang ditetapkan untuk memantau. Sebab itu, kita sentiasa mengingatkan pihak sekolah agar sentiasa mematuhi SOP,” ujarnya. Beliau menasihati pelajar dan guru membuat pemeriksaan suhu.

“Jika terdapat gejala seperti demam, batuk dan selsema, segeralah ke klinik dan jangan turun ke sekolah. Dalam pada itu kerap mencuci tangan, patuh amalan penjarakan sosial dan elakkan berkumpul ramai-ramai,” jelasnya.