WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Selasa memberi amaran, penunjuk perasaan yang cuba merosakkan patung bekas Presiden Andrew Jackson dekat dengan Rumah Putih akan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata demikian selepas polis berjaya menghalang tindakan penunjuk perasaan merosakkan patung bekas pemimpin itu.

Trump berkata beliau akan menandatangani perintah eksekutif untuk menggunakan undang-undang yang ada.

“Saya telah memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menahan sesiapa sahaja yang merosakkan atau memusnahkan monumen, patung atau harta kerajaan persekutuan yang lain di Amerika Syarikat (AS) dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun,” tulis presiden itu di Twitternya.

Pada Isnin malam, penunjuk perasaan melemparkan tali di sekitar patung Jackson di Dataran Lafayette untuk merobohkannya sebelum pihak polis bertindak campur tangan.

Jackson, presiden AS ketujuh, menandatangani ‘Indian Removal Act’ pada Mei 1830 yang mendorong kepada penempatan semula penduduk orang asli Amerika dan¬†kematian ribuan kaum peribumi itu.

— Bernama