PADAWAN: Seorang bapa bersama dua anak lelakinya ditahan selepas bergaduh dengan tiga lelaki lain kerana merebut tapak berniaga sayur di pasar Kota Sentosa, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 7.30 pagi, apabila dua beradik terbabit enggan memberi ruang kepada tiga lelaki berkenaan untuk berniaga menjual sayur.

“Sebelum kejadian, ketiga-tiga lelaki itu telah mengajak dua beradik terbabit untuk berbincang tentang tapak perniagaan.

“Semasa berbincang, adik mangsa telah meninggikan suara menyebabkan seorang daripada suspek menamparnya.

“Kemudian adik mangsa bertindak mengambil besi dari lori dan berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat pergaduhan itu, dua adik beradik itu mengalami kecederaan di badan.

Ayah mereka kemudian datang setelah mendapat tahu anaknya terlibat dalam pergaduhan.

Selepas kejadian, tiga beranak itu kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sentosa, dan disusuli dengan tiga lelaki yang terbabit.

Kemua mereka yang berusia 15 hingga 54 tahun turut mengaku terlibat dalam pergaduhan itu.