KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak (SS) dan New Sarawak Tribune (NST), Dr Jeniri Amir dilantik sebagai Team Ahli Pemikir (TAP) Kementerian Perpaduan Negara.

Surat pelantikan yang bertarikh 17 Jun ditandatangani oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Surat pelantikan itu menyebut yang Jeniri, bekas pensyarah Unimas akan menyumbang kepada suntikan idea-idea baharu dalam aspek perpaduan negara.

“Ahli pemikir akan membantu kementian baharu (Kementerian Perpaduan Negara) untuk menjana idea bagi mengukuhkan perpaduan nasional demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Oleh itu, pihak kementerian menjemput Dr (Jeniri) untuk hadir ke Mesyuarat TAP yang pertama (ditentukan pada masa akan datang),” kata Halimah dalam surat terbabit.

Menurutnya lagi, profesor ulung, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa TAP dengan mengambil kira pengalaman dan kepakarannya dalam bidang kajian hubungan etnik yang berkaitan rapat kepada perpaduan negara.