KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) yakin dengan persediaan mental dan emosi warga guru yang berada pada tahap tinggi untuk menghadapi norma baharu bermula hari ini, selepas hampir empat bulan sekolah ditutup ekoran PKP.

Presidennya Ahmad Malie berkata, ini kerana mereka (guru) telah bersiap sedia menunggu pembukaan semula sekolah sejak sekian lama. “KGBS berpandangan sedemikian kerana sepanjang tempoh PKP, guru sentiasa diingatkan dan diminta bersedia oleh Kementerian Pendidikan kerana pembukaan sekolah diumumkan pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Justeru beliau berkata, KGBS berharap warga sekolah sentiasa mematuhi dan akur dengan Garis Panduan Pembukaan Sesi Persekolahan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar  menjadi keutamaan.

“KGBS yakin warga sekolah mengutamakan amalan kebiasaan baharu dalam suasana pembelajaran dan ketika berada di kawasan sekolah,” jelasnya. Beliau turut menegaskan bahawa pihak sekolah sentiasa memastikan pelajar bersedia dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di sekolah.

Pada masa sama, Ahmad Malie memohon kerjasama ibu bapa dan penjaga untuk mengingatkan anak masing-masing agar mematuhi SOP yang disediakan di sekolah.

“Oleh kerana suasana persekolahan mulai esok (hari ini) berbeza daripada amalan biasa, KGBS berharap warga sekolah akur dengan SOP yang ditetapkan demi keselamatan dan kesihatan bersama,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Macky Joseph mahu ibu bapa atau penjaga memastikan kesihatan anak-anak dalam keadaan terbaik sebelum datang ke sekolah. “Jangan terlalu membebankan guru untuk memantau anak-anak kerana keutamaan guru adalah mengajar.

“Guru juga memerlukan ruang untuk bersedia, merancang, mengajar dan mempunyai penilaian,” katanya. Pada masa yang sama, beliau mengingatkan semua warga sekolah memastikan disiplin berada pada tahap tinggi dalam mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

“Setiap orang harus mengamalkan kepatuhan, disiplin dan kesedaran diri yang tinggi agar kita semua dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. Sarawak mempunyai 34,306 pelajar tingkatan lima dan 6,782 pelajar tingkatan enam.

Daripada jumlah keseluruhan sekolah menengah di negeri ini, 41 perlu menjalani kelas dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.