TOKYO: Kerajaan Jepun menggesa rakyatnya itu menggunakan aplikasi pengesanan Covid-19 pertama di negara itu apabila ia dilancarkan minggu ini, memberi jaminan sistem tersebut tidak akan mengganggu privasi pengguna.

Aplikasi telefon pintar itu, yang menyamai seperti yang terdapat di kebanyakan negara lain, bergantung kepada penjejakan Bluetooth dan kebenaran pengguna dilancarkan pada Jumaat ini.

“Ia adalah alat penting untuk melindungi nyawa anda, jadi tolong muat turun aplikasi ini,” kata menteri bertanggungjawab dalam tindak balas Covid-19 kerajaan, Yasutoshi Nishimura, pada sidang media.

Perisian tersebut merekodkan data yang dienkripsi daripada pengguna aplikasi apabila mereka berada dalam jarak tertentu antara satu sama lain.

Apabila pengguna yang diuji positi Covid-19 mendaftarkan maklumat mereka secara sukarela, pengguna lain yang berada dalam jarak satu meter dari mereka selama sekurang-kurangnya 15 minit diberitahu tentangnya.

Aplikasi itu yang dibangunkan di bawah pengawasan kementerian kesihatan, tidak merekod data yang dapat mengenal pasti individu, seperti nombor telefon atau lokasi, jadi “anda dapat menggunakannya dengan rasa aman”, kata jurucakap tertinggi kerajaan, Yoshihide Suga minggu ini.

Aplikasi pengesanan virus dilancarkan di puluhan negara lain dalam pelbagai bentuk, sebahagiannya mencetuskan kebimbangan berkaitan isu peribadi dan pengawasan pemerintah.

Negara-negara Asia adalah yang pertama menggunakannya, dengan China melancarkan beberapa aplikasi sama ada menggunakan geolokasi melalui rangkaian telefon bimbit, atau data yang dikumpulkan daripada perjalanan kereta api dan penerbangan, atau pusat pemeriksaan lebuh raya.

Penggunaan adalah sistematik dan wajib dan ia memainkan peranan penting dalam membenarkan Beijing menarik balik penguncian wilayah. Di Hong Kong dan Taiwan, GPS dan wi-fi digunakan untuk memantau orang yang dikuarantin, dan Korea Selatan mengeluarkan amaran meluas di telefon bimbit mengumumkan lokasi dikunjungi oleh orang yang dijangkiti. – AFP