KUCHING: Kesedihan akibat rumah terbakar sedikit reda bagi juruhebah radio bahasa Iban Ivy Ubang 51, setelah menerima sumbangan sebuah peti sejuk daripada artis Iban, Melissa Francis.

Melissa yang juga pemilik Celebrity Bistro di Kota Samarahan bersama pemilik Barrock Karaoke di Tabuan Jaya menyumbangkan peti sejuk terbabit kepada Ivy yang menumpang di rumah adiknya di Taman Genesis, Batu Kawa, di sini, Isnin lepas.

Dalam kejadian 12 Jun lepas sebanyak tiga rumah teres dua tingkat di RPR Batu Kawa Fasa 1, termasuk rumah Ivy telah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi terbakar sehingga 65 peratus.

Rumah itu diwarisinya daripada mendiang bapanya, Pegawai Waran (Bersara) Ubang Kendawang yang pernah bertugas dalam pasukan Rejimen Renjer Diraja tentera darat dan pernah menentang komunis serta berjuang ketika konfrontasi.

Ivy yang bertugas di stesen radio terkemuka tempatan berkata, beliau amat terharu setelah menerima sumbangan tersebut.

“Selain itu, semua barangan kami termasuk perkakas elektrik dalam rumah telah musnah dalam kejadian kebakaran itu dan saya sehingga kini masih bersedih dan trauma,” katanya.

Beliau berkata seramai 11 orang ahli keluarganya mendiami rumah terbabit sejak 1982 dan ketika ini mereka terpaksa menumpang tidur di rumah adiknya.

Ivy berkata ramai pihak telah membantu keluarganya sejak kejadian kebakaran terbabit samada persatuan, syarikat, individu, ahli politik, menteri, artis dan sebagainya dan amat berterima kasih kepada mereka.