PADAWAN: Mahkamah Majistret Kuching hari ini menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan mahkamah RM1,000 dan ibu bapa sebagai penjamin terhadap seorang remaja atas kesalahan berlumba haram.
 
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, tertuduh berusia 18 tahun itu telah ditahan pada 24 Ogos tahun lalu lebih kurang jam 11 malam di Jalan FAC Matang kerana menunggang motosikal secara berbahaya.
 
“Tertuduh didapati telah menunggang motosikal dengan membahayakan orang awam iaitu menunggang secara aksi ala Superman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
 
Sehubungan itu, beliau berkata remaja itu telah melakukan kesalahan memandu secara merbahaya kepada orang awam di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87)
 
Foto: Remaja yang dijatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini atas kesalahan berlumba haram.