KUCHING: Sediakan pencuci tangan sebagai ‘sanitizer’ tetapi tiada sinki dan pili air.

Ini masih didapati berlaku di beberapa kedai makan di sekitar bandaraya ini, sekali gus tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Sarawak Billy Sujang, kesalahan itu dikesan semasa Operasi Bersepadu di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan Pemantauan Pematuhan SOP PKPP di Gita, Metro City, Matang Baru dan Demak di sini semalam.

“Ini boleh membahayakan kesihatan orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata sebanyak enam buah premis telah dikompaun kerana tidak mematuhi SOP PKPP, sama ada tidak mengambil suhu badan, tidak merekod kehadiran dan tidak membuat nyah kuman mahu pun sanitasi di premis.

Billy (dua kiri) bersama anggota penguatkuasa yang lain memantau pematuhan SOP PKPP di kawasan Gita, Metro City, Matang Baru dan Demak di Kuching, semalam.

Katanya premis yang dikenakan tindakan itu adalah daripada 63 premis yang diperiksa meliputi 30 kedai makan, 29 kedai peruncitan dan serbaneka serta empat kedai gunting rambut.

Dalam operasi sama, Billy berkata sebanyak 17 notis telah dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada 17 individu atas kesalahan merokok di tempat makan (15) dan menyediakan tempat abu rokok (2) di bawah PPKHT 2004.

Katanya kesalahan di bawah Peraturan 11(1) boleh dikompoun sehingga RM250 atau diambil tindakan di mahkamah jika gagal membayar kompaun dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.

Manakala menyediakan tempat abu rokok di premis tempat makan boleh dikompaun sebanyak RM250 atau didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 ringgit atau dipenjarakan selama tidak melebihi enam bulan.

“Larangan merokok di tempat makan sentiasa berkuat kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.