SARIKEI: Penempatan semula Baji bakal berubah wajah apabila kawasan itu akan dibangunkan menjadi sebuah bandar baharu.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, pembangunan kawasan itu termasuk dalam projek pembesaran Bandar Sarikei.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan turut menyediakan pelbagai prasarana asas untuk kemudahan dan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan. “Perkampungan baharu Baji melibatkan penduduk di penempatan asal Sarikei yang dipindahkan ke kawasan baharu itu.

“Kita juga memohon peruntukan tambahan untuk menambah baik prasarana kawasan yang dijangka melibatkan 150 rumah akan dipindahkan ke tempat baharu ini nanti,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Adun Kuala Rajang berkata, fasa pertama projek itu sudah selesai dan kini memasuki fasa kedua melibatkan perbelanjaan RM50 juta.

Sehubungan itu katanya, proses penilaian juga akan dibuat oleh Jabatan Tanah dan Survei ke atas pelbagai pelbagai aspek termasuk pampasan untuk mereka yang akan dipindahkan ke kawasan tersebut. “Projek yang hampir siap sebanyak 87 lot dengan kos RM8.4 juta dan sudah diagih 2014.

Kini, ada penambahan 162 lot yang menelan belanja RM24 juta yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK 12),” jelasnya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri terbukti apabila meluluskan projek rakyat bernilai RM772 juta untuk bahagian ini.

“Secara keseluruhanya kehadiran Ketua Menteri ke Sarikei adalah untuk memantau perjalanan yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri di bahagian ini.

“Pelaksanaan projek yang meliputi pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik ini diteruskan selepas tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Saya mewakili penduduk Sarikei khususnya di N.41 Kuala Rajang ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.