SERIAN: Pingat khidmat hasil pemberian daripada ketenteraan British menjadi pengubat rindu seorang balu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Naka Ngumbang yang telah meninggal dunia pada 7 Febuari 2001.

Demian Akon, 99, mengeluarkan pingat milik suaminya yang tersimpan selama 65 tahun sejurus menerima kunjungan kebajikan Balu Sarawak Ranger daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Sarawak di Serian, Rabu lalu.

KENANGAN… Pingat berukir Ratu Elizabeth II yang tersimpan 65 Tahun dikeluarkan oleh Demian Akon selepas menerima kunjungan daripada JHEV Sarawak

Menurut Jurucakap JHEV cawangan Sarawak, Demian antara dua balu anggota Sarawak Ranger yang berjaya dijejaki selain Bayan Rangie, 84, balu kepada Kusam Mandau.

Katanya, lawatan tersebut bertujuan bagi memberi sumbangan ihsan selain memastikan kebajikan balu bekas ATM tidak terabai begitu saja.

“Balu Naka,Demian, ditemui tinggal bersama menantunya yang dikenali sebagai Roseline setelah anak lelakinya juga telah meninggal dunia.

“Bayan juga berjaya dijejaki dan kini tinggal bersama empat anak dan dua daripadanya merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Manakala seorang lagi balu yang telah disenaraikan untuk dilawati iaitu Dambak Balil telah meninggal dunia,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Dedahnya, lawatan tersebut mendapati kedua-dua balu berkenaan dalam keadaan baik dan kini bergantung hidup bersama menantu dan anak-anak.

Dalam pada itu, ujar beliau, pihaknya kini dalam usaha membantu kedua-dua balu tersebut memohon Bantuan Sara Hidup bagi meringankan beban anak-anak dan kesejahteraan diri sendiri.

Terdahulu, lawatan berkenaan telah diketuai sendiri oleh Mejar Pahot Joll.

Pengarah JHEV ATM Sarawak, Mejar Pahot Joll bergambar bersama Bayan Rangie