PAKAN: Masyarakat Pakan harus bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menangani wabak demam denggi yang dikesan di kawasan berkenaan.

Adun Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, setakat ini, Daerah Pakan merekodkan 23 kes demam denggi ia amat membimbangkan,

“Jangan kita hanya meletakkan tanggungjawab menjaga kesihatan dan kebersihan kepada agensi kerajaan sahaja namun sebaliknya, bersama-sama mengambil berat dan menjaga kebersihan persekitaran rumah atau rumah panjang.

“Ini kerana penyakit berkenaan berpunca daripada gigitan nyamuk aedes dan jika persekitaran kita kurang bersih, ia akan menjadi pembiakan nyamuk sehingga boleh memudaratkan kesihatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kesedaran Denggi Daerah Pakan anjuran Pejabat Daerah Pakan bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei dan Majlis Daerah Meradong Julau di bawah Jawatankuasa Wabak Denggi Daerah Pakan semalam.

Mawan menambah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digalakkan untuk mengeratkan kerjasama dalam kalangan penduduk serta menyelaraskan projek gotong royong membersih persekitaran rumah kediaman mereka.

“Kita perlu membuang tempat air bertakung yang menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

“Kita bersyukur kerana masyarakat di Pakan bersetuju dengan tindakan Pejabat Kesihatan untuk mengadakan program seperti ini,” ujarnya.

Program tersebut berlangsung di Dewan Masyarakat Pakan dihadiri seramai 89 peserta yang terdiri daripada Pemanca, Penghulu dan Tuai Rumah dari Daerah Pakan.

Program ini diadakan bertujuan menanam kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang usaha membersihkan persekitaran agar bebas ancaman nyamuk aedes sebagai pembunuh senyap.

Terdahulu, satu taklimat mengenai wabak denggi disampaikan oleh wakil daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Penolong Pegawai Kesihatan Benedict Jony.

Program tersebut merupakan tindakan proaktif antara Pejabat Daerah Pakan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei dan Majlis Daerah Meradong Julau.

Ia diadakan agar memupuk kesedaran dalam bentuk pengetahuan am kepada masyarakat Pakan khasnya tentang bahaya wabak demam denggi.

Disamping itu, ia juga menyampaikan maklumat dan informasi mengenai tanda-tanda awal wabak demam denggi dan cara-cara mengatasinya.