KUCHING: Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak akan terus memastikan Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) dapat sampai terus kepada penerima yang layak.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Rosey Yunus berkata, sekiranya pemohon yang layak untuk BKIT ini meninggal dunia, warisnya boleh tampil ke Pejabat Jabatan Wanita Keluarga Sarawak (JWKS) untuk proses menuntut bantuan berkenaan.

Menurutnya, proses tersebut sama seperti permohonan Kad Emas Kenyalang (KGC).

“Jika pemohon telah meninggal dunia, waris boleh tampil untuk menerima bantuan khairat kematian. Manakala untuk bantuan BKIT ini, waris boleh ke pejabat JWKS dengan dokumen sokongan untuk proses penerimaan bantuan milik pemohon.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah bagi memaklumakan ketua komuniti

mengenai inisiatif kerajaan berkenaan,” katanya di Wisma Wanita di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pelaksanaan Dasar Wanita Jabatan Pembangunan Wanita Ahmad Syaifulizan Zulkeefly berkata, sekiranya berlaku kematian kepada pemohon, akaun bank pemohon akan dibekukan dan wang bantuan akan ditendang semula jika disalurkan.

“Kita mahu waris hadir ke JWKS untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Perkara yang paling penting ialah bantuan ini diluluskan untuk penerima yang layak.

“Jangan risau kerana kita akan mencari jalan penyelesaian yang memudahkan waris. JWKS akan mengkoordinasi setiap proses pembayaran ini,” katanya.

Bagi di kawasan luar bandar katanya, JWKS dan kementeriannya kini merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah bagi memastikan bantuan ini diketahui sehingga ke akar umbi.