BETONG: Sebanyak 592 pelajar tingkatan lima dari lima sekolah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pada tahun hadapan menerima sumbangan buku rujukan.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu memberitahu, sumbangan itu merupakan inisiatif meringankan beban ibu bapa, selain motivasi untuk meningkatkan usaha, seterusnya berjaya dalam peperiksaan.

“Saya berterima kasih kepada pasukan Pusat Khidmat Adun Layar, Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar, Pejabat Pendidikan Daerah Betong serta rakan strategik Pelangi Publishing Group yang menerbitkan buku rujukan tersebut.

“Dengan kolaborasi yang mantap itu, tahun ini kita dapat membantu 592 pelajar dari SMK Saint Augustine, SMK Datuk Patinggi Kedit, SMK Ulu Layar, Kolej Vokasional Betong dan Maktab Rendah Sains Mara Betong.

“Saya berharap buku rujukan ini dapat dimanfaatkan, sekali gus meningkatkan prestasi pelajar kita ketika menduduki peperiksaan kelak,” katanya selepas majlis simbolik penyerahan buku rujukan kepada pengetua sekolah masingmasing di sini, kelmarin.

Jelasnya, semua buku rujukan yang dibekalkan berdasarkan mata pelajaran yang diambil. Rentap mengingatkan semua pelajar untuk cepat mengadaptasi pembelajaran dalam norma baharu di sekolah.

“Kita faham bukan mudah untuk menyerap kelaziman baharu dan mungkin mengambil masa. Tetapi, jangan leka. “Masa sentiasa bergerak. Kalau boleh, usahakan pelbagai alternatif dan inisiatif untuk memastikan kita tidak ketinggalan.

“Saya percaya, pelajar-pelajar di Betong ini mampu setanding dengan anak-anak di bandar,” ujarnya. Beliau turut menagih kreativiti pendidik sesuai dengan norma baharu untuk menjulang prestasi pelajar di Betong.

“Ibu bapa dan masyarakat juga harus bersama-sama menggembleng tenaga dan memainkan pe-ranan dengan tidak membiarkan tanggungjawab hanya di atas bahu warga sekolah.