MUKAH: Pertubuhan Belia Parlimen Mukah mewujudkan Program Rakan Niaga Belia (RNB) untuk membantu usahawan muda bagi meningkatkan tahap ekonomi mereka sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan pada 18 Mac yang lalu, ramai anak muda di Mukah hilang pekerjaan dan mengambil inisiatif untuk berniaga sendiri dari rumah bagi menampung sara hidup individu atau keluarga.

Pengasas RNB, Muhamad Tarmizi Karnain Abdah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membuka peluang kepada golongan muda untuk terlibat dalam perniagaan makanan.

“Dalam usaha memperbaharui RNB bagi mewujudkan suasana yang dapat menarik minat pelanggan untuk datang berkunjung, usaha-usaha memperbaiki dan menyelenggara RNB telah dilakukan dan disertai bersama-sama oleh Mukah Youth Volunteers (MY Volunteers).

“Bagi kita perniagaan dari segi jualan makanan dan minuman ini mampu mewujudkan keuntungan kepada badan bukan kerajaan NGO kerana hasil ini nanti dapat digunakan untuk tujuan penyelengaraan dan dapat membantu program-rogram lain,” katanya kepada Suara Sarawak.

Katanya, walaupun kini perniagaan di RNB telah dimulakan, semua standard operasi prosedur (SOP) perlu dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Tarmizi yang juga merangkap Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sarawak menambah RNB telah beroperasi lebih tiga tahun dan terletak di kawasan Pusat Kegiatan Belia Mukah berhadapan Padang Mesra MDDM.

“Ia beroperasi dari Isnin hingga Sabtu bermula dari jam 6 Petang hingga 11 Malam.

Turut tersedia juga ialah khidmat penghantaran makanan iaitu Mukah Youth Goods Delivery (MY Goods Delivery) bagi pelanggan yang #dudukrumah ketika Pandemik Covid-19 kini.

“Malah pelbagai hidangan masakan tempatan antanya Tom Yam ala Thai, Nasi Kerabu, Laksa Penang Char Kuew Tiau, Sup Power, Sup Tulang, Nasi Ayam, Western Food dan banyak lagi turut ada dijual di sini,” ujarnya.

Malah kini beliau turut merancang untuk memperbanyakkan lagi gerai makanan di RNB dengan harapan dapat membuka peluang kepada anak muda turut sama dengan RNB dalam kegiatan keusahawanan.

“Antara lain ialah kita kini dalam usaha merancang RNB cawangan baharu iaitu terletak di Bangunan Pusat Kegiatan Belia baharu yang akan siap menjelang hujung tahun ini dan memperbanyakkan konsep perniagaan kepada belia.

“Malah melalui Bantuan Prihatin Nasional bagi golongan individu bujang sebelum ini ia banyak membantu para peniaga belia menjadikan sebaagi modal untuk berniaga di RNB ini,” jelasnya lagi.