BARIO: Seorang lelaki warga emas berusia 99 tahun yang dikhuatiri hilang ketika keluar mencari kayu api di hutan pada Khamis lalu akhirnya ditemui selamat, hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong menerusi satu kenyataan mengesahkan mangsa berjaya dikesan oleh sepasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam radius dua kilometer daripada rumah mangsa sekitar jam 1.25 petang.

Menurutnya, mangsa dilaporkan hilang pada Khamis setelah tidak pulang dari mencari kayu api berhampiran hutan Arur Ritan Pa Lungan.

“Pasukan SAR berjaya menjejaki mangsa menerusi bekas tapak kakinya dari rumah ke tempat kejadian.

“Mangsa ketika ditemui berada dalam keadaan selamat sebelum dibawa balik semula ke rumah oleh pasukan operasi,” jelasnya.

Tambahnya, difahamkan perjalanan darat daripada Marudi menuju ke lokasi kejadian mengambil masa dua hari untuk sampai ke destinasi.

Terdahulu, pasukan SAR terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Bomba Sukarela Bario, Bomba Komuniti Pa’Lungan serta penduduk kampung berdekatan.

SELAMAT… Mangsa ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibawa pulang semula ke rumahnya oleh pasukan SAR