KUCHING: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dapat melaksanakan tugas dengan sempurna.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata, semua anggota telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tiada anggota berada dalam keadaan kritikal.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan ditutup sementara pada awal PKP, yang melibatkan 41 anggota kerana disyaki dijangkiti Covid19.

Menurutnya, dua anggota positif dan 39 yang lain dalam siasatan (PUI).

“Syukurlah, melalui proses perubatan dan langkah keselamatan yang diambil, semua anggota kita disahkan negatif virus itu termasuk dikuarantin selama 14 hari.

“Dalam tempoh penutupan itu, kita menggerakkan anggota dari balai lain untuk berkhidmat di daerah berkenaan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Bomba 2019 di Ibu Pejabat Bomba Sarawak di sini semalam.

Khirudin menambah, pemeriksaan dan pembersihan juga dilakukan di balai berkenaan dan tahap kesihatan anggota bomba Simunjan kekal dalam keadaan baik.

Ujarnya lagi, garis panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi dengan penjarakan sosial, pembersihan diri, termasuk pembersihan kenderaan jentera dan peralatan setelah menjalankan tugas dan sebagainya.

“Semua anggota di setiap balai dikehendaki mematuhi SOP ini yang akan dijalankan pada waktu pagi dan petang, mengikut perubahan jadual bertugas,” katanya lagi.