PATNA: Sekurang-kurangnya 107 orang maut selepas dipanah di India utara dan timur kata pegawai, pada peringkat awal musim monsun tahunan.

Sekitar 83 terkorban selepas disambar petir di timur Bihar yang miskin manakala 24 yang lain maut di utara Uttar Pradesh.

Serangan kilat pada musim tengkujuh merupakan perkara biasa di India, namun Menteri Pengurusan Bencana Bihar, Lakshmeshwar Rai berkata, angka korban harian akibat kilat itu merupakan tertinggi yang direkodkan wilayah itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahnya lebih separuh yang meninggal dunia datang dari daerah utara dan timur Bihar yang sering dilanda banjir.

Rai turut memberi amaran angka kematian mungkin meningkat lebih tinggi memandangkan kerajaannya masih menunggu laporan korban di kawasan pedalaman wilayah itu. Hujan lebat dijangka melanda Bihar pada Jumaat dan Sabtu ini, menurut Jabatan Meteorologi India.

Di negeri jiran Uttar Pradesh, kebanyakan yang maut dilaporkan di daerah Deoria berhampiran sempadan Nepal dan kota suci Prayagraj.

Perdana Menteri Narenda Modi, menerusi Twitter turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa sambil menambah kerajaan negeri akan menjalankan kerja bantuan segera.

Lebih 2,300 terbunuh akibat dipanah petir d India pada 2018 menurut angka terbaharu Biro Rekod Jenayah Nasional. – AFP