NEW DELHI: China mengerah sejumlah besar senjata dan tenteranya di sepanjang sempadan pertikaian Himalaya, menurut Kementerian Luar India.

India turut mengaku untuk kali pertama negara itu bertindak setara dengan China dalam kawasan penempatan tentera di kawasan itu selepas insiden pertempuran berdarah, bulan ini.

Namun, kementerian itu turut menuduh China sebagai punca ketegangan dengan memulakan penempatan tentera, dan memberi amaran hubungan antara kedua-dua negara berpenduduk paling padat di dunia itu mampu terjejas sekiranya situasi itu berlanjutan.

Dua negara berjiran itu saling menyalahkan antara satu sama lain atas pertempuran di rantau Ladakh pada 15 Jun lalu yang menyaksikan 20 tentera India terbunuh, manakala jumlah korban pihak China tidak diketahui.

Walaupun masing-masing menyatakan hasrat meredakan keadaan, jurucakap Kementerian Luar India, Anurag Srivastava, berkata ‘kedua-dua pihak kekal menempatkan sejumlah besar tentera di rantau itu, sementara hubungan diplomatik dan ketenteraan masih berterusan’.

Srivastava mendakwa, ‘tindakan China’ di sempadan LAC itu membawa kepada pertempuran berdarah membabitkan penggunaan batu dan belantan, bulan ini.

Tiada tembakan dilepaskan. “Pemasalahan ini bermula sejak awal Mei lalu, pihak China menempatkan sejumlah besar tentera dan senjata di sepanjang LAC,” dakwanya.

Tambahnya, China juga menghalang rondaan India yang melanggar persetujuan yang dicapai untuk mengelak pertempuran antara tentera mereka.

Srivastava mendakwa, tentera China membina ‘struktur’ di garis sempadan sebelah India di Lembah Galwan di Ladakh di lokasi pertempuran berlaku.

Sebelum ini, China juga menuduh tentera India menjadi punca pertempuran pada 15 Jun lalu dengan menyerang pasukannya. Beijing juga menggesa India supaya segera menghentikan semua tindakan pelanggaran dan provokatif. – AFP