KUCHING: Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia(PDRM) Sarawak secara rasminya dijawat oleh ACP Roslan Tahir, berkuatkuasa, hari ini.

Penyerahan tersebut diadakan dalam majlis serah tugas oleh bekas JIPS Sarawak, DSP Lee Leng Ian kepada beliau sambil disaksikan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Bin Ismail di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak.

Terdahulu, Lee Leng Ian telah memegang jawatan tersebut sekitar dua tahun sebelum ia secara rasminya diserahkan kepada Roslan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, jawatan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Sarawak telah dinaik taraf daripada pangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) kepada Asisten Komisioner Polis (ACP).

Tegasnya, ia sekaligus membuktikan PDRM memandang serius serta mencegah salah laku dalam organisasi yang melibatkan pegawai dan anggota PDRM itu sendiri.

Beliau dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Roslan atas perlantikan sebagai ketua jabatan tersebut serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Lee Leng Ian atas dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan sebelum ini.